Pembinaan
Negara Bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat
penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas
dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai,
budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina Negara Bangsa
bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme, lingua franca,
integrasi, kewarganegaraan dan demokrasi.
Kementerian
Pelajaran (KPM) merasakan aktiviti pendidikan mesti memberi keutamaan kepada
usaha memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan di kalangan rakyat yang boleh
dicapai melalui aktiviti kurikulum, kokurikulum dan sukan.[1] Cabaran
globalisasi dan liberalisasi menuntut perubahan dinamik dalam sistem pendidikan
bagi melahirkan warganegara glokal yang bertindak bijak menghadapi cabaran
globalisasi dan liberalisasi mengikut acuan local atau tempatan.
KPM
yang menyokong hasrat mewujudkan bangsa Malaysia, bertanggungjawab memperkukuh
perpaduan, membina identiti nasional dan semangat kebangsaan serta membangunkan
sumber manusia bersesuaian dengan keperluan negara. Matlamat KPM di bawah PIPP
kini ialah melahirkan pelajar yang memiliki jati diri yang kukuh, patriotik,
berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral, hidup sebagai sebuah
masyarakat penyayang, demokratik, liberal, bertolak ansur, berfikiran dan
berbudaya saintifik.
Sehubungan
itu, fokus KPM dalam membina Negara Bangsa mencakupi usaha-usaha seperti
memperkasakan bahasa kebangsaan sebagi asas perpaduan dan bahasa ilmu serta
memantapkan perpaduan dan integrasi nasional. Fokus lain ialah memupuk
kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya bangsa serta memupuk kefahaman yang
jelas terhadap pendekatan Islam Hadhari dalam membentuk pemikiran kehidupan. Dalam
tempoh PIPP, KPM akan membina Negara Bangsa melalui pendidikan dengan memberi
tumpuan kepada beberapa fokus dan strategi pelaksanaan.
Antaranya,
menggerakkan gelombang baru gerakan memperkasakan bahasa kebangsaan,
memantapkan pelaksanaan Dasar Buku Negara, menyelaras peranan semua pihak
terlibat untuk menggiatkan aktiviti kebahasaan, kesusasteraan, pengkaryaan,
penterjemahan dan penerbitan serta mewujudkan bulan bahasa dan sastera negara
dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan.
Sementara
itu, bagi memantapkan perpaduan negara dan integrasi nasional, KPM akan
berusaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat agar menghormati
Perlembagaan Malaysia, meningkatkan semangat patriotik melalui aktiviti
kokurikulum dan menanam semangat hormat-menghormati sensitiviti masyarakat
pelbagai kaum.
Selain
itu, KPM juga akan memberi kefahaman menyeluruh tentang pentingnya semangat
kejiranan ke arah perpaduan dan integrasi nasional serta memperingatkan
aktiviti RIMUP. Kementerian itu juga akan menyusun program bagi memupuk kecintaan
terhadap seni, warisan dan budaya melalui membina kurikulum kesenian, membina
sekolah seni, meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Kesenian
dan Warisan serta membudayakan penggunaan tulisan Jawi.
Bagi
memupuk kefahaman yang jelas tentang pendekatan Islam Hadhari, KPM akan
melaksanakan pelbagai aktiviti untuk bimbingan melalui siri ceramah, seminar
dan penerbitan bahan bacaan berkaitan Islam Hadhari.
Perpaduan
yang kuat dan kukuh antara rakyat mampu menjana kejayaan dan kecemerlangan bagi
kesejahteraan serta kemakmuran negara. Oleh yang demikian, perpaduan dan
keharmonian adalah elemen yang sangat penting dalam mengekalkan keharmonian
dalam kalangan masyarakat Malaysia. Tanpa perpaduan, nescaya kemerdekaan dan
kedaulatan negara yang telah diperoleh sejak sekian lama akan hilang dalam
sekelip mata.
Antara
langkah yang boleh dilakukan untuk membentuk perpaduan ialah, rakyat haruslah
bergaul dan memupuk persefahaman antara kaum. Dalam keadaan tersebut, ibu bapa
perlulah sentiasa menerapkan nilai-nilai perpaduan dalam diri anak-anak sejak
kecil lagi.[2]
Anak-anak
digalakkan berkomunikasi dengan jiran yang berlainan bangsa dan ibu bapa juga
disarankan membawa anak-anak mereka mengunjungi rumah jiran semasa hari lebaran
atau perayaan. Dengan cara itu, ibu bapa dapat menjadi suri teladan kepada
anak-anak dan membolehkan mereka menghayati keistimewaan masyarakat Malaysia
yang terdiri daripada pelbagai jenis kaum dan etnik.
Selain
itu, ibu bapa juga boleh berkomunikasi dengan anak-anak dalam pelbagai bahasa,
misalnya bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, dan bahasa-bahasa ibunda. Apabila
golongan muda menguasai pelbagai bahasa, mereka dapat berkomunikasi dengan
rakan yang berlainan bangsa dengan mudah. Pokoknya, nilai-nilai perpaduan dan
permuafakatan hendaklah didedahkan kepada generasi muda sejak awal lagi agar
jiwa perpaduan dalam diri mereka dapat berkembang dengan sempurna.
Seterusnya,
institusi-institusi pendidikan perlu bertanggungjawab menerapkan semangat
bersatu-padu dalam kalangan pelajar berbilang kaum. Antara langkah yang dapat
diambil adalah dengan memberikan kerja-kerja berkumpulan. Dalam konteks ini,
guru-guru hendaklah membahagikan pelajar secara berkumpulan dalam melaksanakan
projek-projek sekolah, seperti kajian sains, persembahan, dan sambutan-sambutan
majlis di sekolah.
Guru-guru
juga haruslah membahagikan kedudukan pelajar dengan sempurna untuk menggalakkan
pelajar berkomunikasi dengan pelajar-pelajar yang berlainan kaum dan bukannya
sesama satu kaum sahaja. Dalam proses menjayakan inisiatif-inisiatif tersebut,
guru tidak boleh mencetuskan isu-isu sensitif semasa mengajar, misalnya dengan
mengagung-agungkan warisan budaya sendiri dan mengejek budaya kaum lain. Pendek
kata, pelajar-pelajar dan guru-guru perlulah bekerjasama demi menzahirkan
semangat perpaduan di peringkat sekolah.
Di
samping itu, golongan pelajar perlulah belajar dan menghayati sejarah negara
agar dapat memahami erti perpaduan negara. Sebagai satu daripada langkah untuk
mewujudkan permuafakatan bangsa, Kementerian Pelajaran Malaysia telah
mewajibkan pelajar-pelajar agar lulus dalam mata pelajaran Sejarah di peringkat
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013.[3]
Langkah
tersebut diharapkan dapat menyedarkan anak-anak bangsa tentang akibat kurangnya
perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat. Mengetahui dan memahami peristiwa
yang berlaku dalam sejarah negara seperti tragedi berdarah 13 Mei 1969, sudah
tentu golongan muda dan belia akan lebih menghargai perpaduan dan keharmonian
yang dikecapi selama ini. Pemahaman rakyat Malaysia tentang sejarah tanah air
dapat menyemai semangat perpaduan dalam diri mereka.
Pada
masa yang sama, rakyat Malaysia hendaklah menghindari sebarang tindakan yang
boleh mencetuskan provokasi kaum. Walaupun rakyat diberi hak kebebasan
bersuara, mereka haruslah tidak mengambil kesempatan dengan mencetuskan isu-isu
sensitif dan kontroversi yang dapat merosakkan rasa muhibah dan perpaduan.[4]
Masyarakat
setempat juga boleh memainkan peranan dalam mengukuhkan perpaduan kaum di
negara ini melalui penganjuran aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong,
Program Rukun Tetangga, dan kempen Bulan Kemerdekaan untuk mengeratkan hubungan
antara masyarakat pelbagai kaum. Aktiviti-aktiviti seperti ini mampu menjamin
kesejahteraan hidup warga setempat, dengan membuka ruang dan peluang komunikasi
antara jiran tetangga berlainan bangsa.
[1]Mohamed
Mustafa Ishak. “Politik Bangsa
Malaysia: Pembinaan Bangsa Dalam Masyarakat Pelbagai Etnik”.
[2] Dayu Sansalu. Mohd Sohaimi Esa.
Yusten Karulus. Budi Anto Mohd Tamring. “Explorasi Hubungan Etnik”.
[3] Rohani Hj Ab Ghani. (2016). “Negara
Bangsa Malaysia: Asas dan Cabaran”.
[4] Afifah
Abu Yazid. (2016). “Kepelbagaian Agama dan Etnik dalam pembentukan Negara
bangsa”
Bibliography
Afifah
Abu Yazid. (2016). Kepelbagaian Agama dan Etnik dalam pembentukan Negara
bangsa. Universiti Utara Malaysia
Dayu
Sansalu, Mohd Sohaimi Esa, Yusten Karulus & Budi Anto Mohd Tamring.
Explorasi Hubungan Etnik. Sasbadi Sdn. Bhd.
Mohamed
Mustafa Ishak. (2014). Politik Bangsa Malaysia: Pembinaan Bangsa Dalam
Masyarakat Pelbagai Etnik. Universiti Utara Malaysia.
Rohani
Hj Ab Ghani. (2016). Negara Bangsa Malaysia: Asas dan Cabaran. Universiti
Utara Malaysia.
